Laman Tusyen

Blog ini adalah untuk membantu pelajar sekolah (UPSR/PT3/SPM) dan pasca sekolah (Kolej/Universiti) menguasai teknik serta format karangan dan kertas kerja kursus.

Selamat Datang

Blog ini (masih dalam pembinaan - dijangka berjalan lancar pada April 2017) adalah untuk membantu pelajar memahirkan diri dalam teknik mengarang serta mencari idea untuk menulis karangan. Pada masa yang sama,disediakan jua nota-nota dan soalan percubaan tahun-tahun lepas pelbagai subjek untuk dimuat turun oleh pelajar UPSR, PT3 dan SPM.Semoga bahan-bahan di sini dapat membantu dalam persediaan peperiksaan dan juga manfaat berpanjangan untuk anda semua. Amin Ya Rabbal A'lamin.

Games

Rabu, 15 Mac 2017

Panduan Bagaimana Menulis Karangan Berita - Pendahuluan

Tiada ulasan :

Menulis karangan berbentuk berita berbeza dengan karangan lain. Berikut adalah cara-cara menulis sebuah laporan berita.

Laporan berita ayatnya ringkas dan padat isinya. Orang yang membaca berita mahu tahu akan peristiwa yang telah terjadi. Maka, hendaklah penulis menyampaikan isi berita secara jelas dan jujur berdasarkan apa yang disampaikan oleh saksi kejadian. Maksudnya, penyampaian itu mestilah mengikut apa yang dapat dicapai oleh lima deria rasa manusia dan bukanlah mengikut apa yang dirasakan dalam hati atau dibayangkan dalam minda saksi itu. 

Karangan berita memerlukan kita memberi penerangan tentang suatu peristiwa yang benar-benar berlaku atau isu semasa. Maka, setiap fakta yang disampaikan mestilah betul, logik dan boleh diterima akal yang waras.

Format Pendahuluan 

Mulakan dengan nama bandar di mana suatu peristiwa berlaku. Nama itu mestilah ditulis dengan huruf besar kesemuanya. Kemudian, letakkan tanda koma (,) dan tulislah tarikh hari kejadian dimulai dengan nombor hari diikuti dengan bulan dan seterusnya diletakkan sengkang (-).

Contoh:

KAJANG, 7 Januari -

KUALA LUMPUR, 18 Disember -


Pendahuluan Berita

Di sini, anda perlu menuliskan ringkasan kepada berita yang hendak disampaikan. Adakalanya, pembaca tidak mempunyai banyak masa dan dia hanya dapat membaca satu perenggan sahaja. Oleh itu, amatlah penting untuk memberitahu dengan lengkap tetapi ringkas akan isi berita di bahagian pendahuluan ini. Jika di dalam berita ada melibatkan orang kenamaan, maka hendaklah disebut namanya dan diberitahu apa yang dilakukan atau diperkata olehnya. 

Contoh:

1. NEW YORK, 7 Januari - Mustafa Sadri telah membanggakan negara dengan memenangi pingat emas pertama untuk Malaysia dalam kejohanan Siri Maraton Dunia di sini pagi tadi. 

2. KUALA LUMPUR, 18 Disember - Seorang perompak mati ditembak polis ketika cuba melepaskan diri selepas merompak sebuah bank di sini kira-kira jam 6.30 petang tadi. Semua hasil rompakan berjaya diperoleh semula.

3. MUAR, 6 Julai - Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Sains Muar cedera parah kerana dibuli lima rakannya petang semalam akibat tidak mahu meminjamkan kasut bolanya. Pelajar itu kini dalam keadaan tenat di Unit Jagaan Rapi, Hospital Pakar Sultanah Aminah di sini. Kelima-lima pembuli itu sedang ditahan polis untuk siasatan lanjut.


Bagaimana Menulis Karangan Laporan Berita - Isi Kandungan








Panduan Bagaimana Menulis Karangan Berita - Isi Kandungan

Tiada ulasan :

Isi Berita

Apabila merancang untuk membina cerita berita, penulis perlu mampu menyampaikan jawapan kepada enam soalan ini: 

SIAPA? APA? DI MANA? BILA? MENGAPA? BAGAIMANA?

Siapakah orang utama di dalam berita ini?
Apakah yang telah berlaku kepadanya?
Di manakah peristiwa itu berlaku?
Bilakah peristiwa itu berlaku?
Siapa lagi yang terlibat?
Mengapa peristiwa itu berlaku?
Bagaimana boleh terjadinya peristiwa itu?

Setiap perenggan yang dibina mestilah pendek dan padu. Maknanya, penulis perlu membuat ayat yang ringkas-ringkas. Ayat-ayat di dalam perenggan itu pula hanya berkisar kepada isi penting yang hendak disampaikan di dalam perenggan itu sahaja. Tidak kisah sebenarnya berapa perenggan pun yang akan ditulis asalkan perkara yang hendak diberitahu itu relevan kepada topik utama.

Orang yang membaca isi berita biasanya mempunyai banyak masa untuk mendalami cerita. Mereka ingin tahu dan jika disampaikan maklumat dengan kemas dan tersusun, mereka akan berasa puas hati walaupun mengambil masa sedikit untuk mengetahui keseluruhan cerita. Oleh itu, sebagai penulis berita, hendaklah kita memberi maklumat dengan jelas dan tepat serta merujuk kepada apa yang diperkata oleh orang.

Apa yang diperkata oleh orang itu boleh ditulis dalam bentuk cakap ajuk atau cakap pindah. Sekiranya menggunakan cakap ajuk, letakkan tanda pembuka dan penutup kata ".......". Jika menggunakan cakap pindah, tidak perlu tanda "......." tetapi hendaklah disampaikan isi penting penyampaian itu walaupun dengan ayat kita sendiri (tidak menggunakan sepenuhnya ayat penyampai).


Contoh:

NEW YORK, 7 Januari - Mustafa Sadri telah membanggakan negara dengan memenangi pingat emas pertama untuk Malaysia dalam kejohanan Siri Maraton Dunia di sini pagi tadi. 

Isi Berita

Pelumba lari jarak jauh berusia 25 tahun yang berasal dari Ipoh, Perak ini berjaya menewaskan jaguh-jaguh hebat yang lain seperti pemenang pingat emas Olimpik, Bo Mbasa dari Kenya dan penyandang juara maraton ini tahun lepas, Justin Hewman dari Amerika Syarikat. Mustafa mencatat kemenangan dengan masa 2 jam 4 minit 12 saat  menewaskan lawan terdekatnya Bo Mbasa sejauh 22 saat di belakang. Siri pertama Maraton Dunia 2017 ini berlangsung dalam cuaca dingin 18 darjah Celcius mengelilingi bandar New York dengan penyertaan kira-kira 20,000 orang dalam pelbagai kategori. 

Kemenangan sulung pelari jarak jauh profesional ini begitu bermakna buat beliau setelah mengharungi lima musim Siri Dunia berturut-turut sejak tahun 2013 lagi. Pencapaian tertinggi beliau sebelum ini hanyalah tempat ke-5 dalam Siri Dunia yang berlangsung di Hamburg, Jerman pada Julai 2016. Ketika ditemuramah sejurus selepas melepasi garisan penamat, beliau sempat mengucapkan terima kasih atas sokongan dan galakan daripada keluarganya serta Majlis Sukan Negara (MSN) yang sentiasa bersedia memberi bantuan kepadanya ketika menghadapi saat-saat sukar sebagai seorang atlit.

Mustafa turut berkata, "Kemenangan ini adalah untuk ayah, ibu dan isterinya yang tidak jemu-jemu memberinya semangat dan masa untuk terus berlatih. Saya juga amat berterima kasih kepada jurulatih saya, Eddie Smith dan pihak MSN yang membimbing serta memberi sokongan kewangan untuk saya terus berusaha sehingga sampai ke sini hari ini."

Sejak mula larian apabila semua peserta dilepaskan jam 7.30 pagi tadi, Mustafa telah menunjukkan kesungguhannya dengan mengejar kelompok hadapan walaupun ketika itu beliau berada di kelompok keempat. Larian sejauh 26 batu ini (kira-kira 41km) benar-benar mencabar buat peserta-peserta dari negara panas tetapi Mustafa berjaya membuktikan tiada apa yang mustahil seandainya ada kemahuan yang kuat. Beliau mulai mengikut kelompok hadapan kira-kira 10 km terakhir dan berjaya mendahului semua peserta dalam 3 km terakhir walaupun disaingi rapat oleh Mbasa dan Hewman. Pada kilometer terakhir, beliau menggandakan usaha dengan memecut lebih pantas lalu meninggalkan Mbasa dan Hewman kira-kira 100m di hadapan. Kemenangan bergaya Mustafa itu disambut meriah oleh sekumpulan penyokong Malaysia yang berada di garisan penamat dengan sorakan dan kibaran bendera negara. 

Pingat emas dan hadiah johan sebanyak USD 20,000 disampaikan oleh Datuk Bandar New York, Ellen Gambino. Pingat perak jatuh kepada Mbasa dan gangsa kepada Hewman.

Penutup

Datuk Noriman Jaafar, duta Malaysia di New York, penaung kepada Mustafa ketika di sana yang sempat ditemuramah berkata, "Hari ini seorang lagi anak Malaysia telah mengharumkan nama negara. Mustafa membuktikan usaha yang gigih dan semangat yang tidak mudah patah walaupun mengambil masa bertahun-tahun lamanya akhirnya akan berhasil jua. Semoga selepas ini lebih ramai atlit negara mencipta nama di persada antarabangsa."

(442 patah perkataan)



Bagaimana Menulis Karangan Laporan Berita - Pendahuluan

Bagaimana Menulis Karangan Laporan Berita - Penutup


Panduan Bagaimana Menulis Karangan Berita - Penutup

Tiada ulasan :

Penutup

Di dalam bahagian penutup, letakkan maklumat lanjut atau peringatan yang bersesuaian dengan berita yang ditulis. 

Jika kita menulis berita tentang satu rompakan, maka di dalam penutup tuliskan permintaan pihak polis kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil ke hadapan. Letakkan nombor telefon pihak polis yang boleh dihubungi. 

Jika kita menulis tentang satu kemalangan, mintalah pada orang ramai yang menjadi saksi kejadian menghubungi pihak polis dengan segera. Atau, mintalah orang ramai untuk berhati-hati ketika memandu. 

Jika kita menulis tentang satu acara, maka tulislah kesan acara itu kepada masyarakat umumnya atau golongan masyarakat yang tertentu. Biasanya, kesan itu adalah yang positif.  

Sabtu, 4 Mac 2017

Kertas Percubaan (Trial Papers) Pelbagai Negeri - Matematik Tambahan SPM 2016

Tiada ulasan :
Sila klik link untuk memuat turun Kertas Percubaan (Trial Papers) Pelbagai Negeri - Matematik Tambahan SPM 2016. Jawapan turut disertakan.

1. Selangor, Set 1-10 

2. Negeri Sembilan

3. Sarawak

4. Terengganu (Bahan Kecemerlangan Matematik Tambahan SPM)

5. MRSM 

Senarai ini akan ditambah dari semasa ke semasa. Jangan lupa untuk mendaftar e-mail anda untuk mengetahui kemaskini berkenaan pos ini.

👶 Terima kasih, sila datang lagi ya 👶

Muat Turun Kertas Percubaan Lain-lain Subjek 

Sabtu, 30 Januari 2010

Contoh Karangan Keperihalan PT3 - Gambaran Suasana

8 ulasan :
Soalan: Sebuah pasar raya baru dibuka di tempat anda. Gambarkan suasana di pasar raya itu ketika anda ke sana.

Pasaraya Metro gah tersergam di depan mataku. Semenjak dibuka dua hari lepas, inilah pertama kali kumenjejakkan kaki memasuki perkarangan pasaraya baru ini.

Deretan demi deretan kenderaan sudah pun memenuhi tempat letak kereta yang kukira seluas dua buah padang bola itu. Ramai orang berjalan di situ. Ada yang baru sampai. Ada yang mahu pulang. Kereta kecil dan besar bersimpang-siur mencari ruang untuk pakir dan keluar. Lagu-lagu dan pengumuman selang seli berkumandang kuat dari pembesar-pembesar suara yang terletak di merata-rata. Semua kekecohan ini kerana bangunan biru muda yang belon-belon besar di atasnya menggamit manusia memasukinya.

Sepertimana mereka, aku jua terpanggil hari ini untuk melihat apakah isinya. Segera kulangkahkan kaki menuju pintu utama pasar raya itu. Dalam kesesakan orang itu aku mencelah-celah melewati sederet puluhan kaunter lantas tiba di hadapan ratusan rak besar berwarna putih yang menempatkan ribuan barang.

Pekerja-pekerja pasar raya kulihat bertungkus lumus mengisi dan mengemaskan barang-barang sambil diganggu oleh pelanggan-pelanggan yang bertanyakan macam-macam. Kukira para pelanggan ini mahu mencari barang dan pekerja-pekerja itu pula pasti kebingungan kerana terlalu luas pasar raya ini sedang mereka baru sahaja bekerja di situ.

Di atas setiap rak sudah tertulis dengan perkataan yang besar-besar kategori barangan yang ada di rak itu. Akan tetapi mungkin sebab mereka keramahan rakyat Malaysia maka mereka lebih suka bertanya daripada mencari sendiri. Aku berjalan dari rak ke rak tanpa tujuan. Tiada apa yang menarik hatiku. Rak baju. Rak seluar. Tuala. Barangan bilik air. Semua ada rak-rak tersendiri. Kemas tersusun setiap barangan menantikan tangan-tangan yang mengingini mengambil barang-barang itu.

Setelah melewati berpuluh-puluh rak di kiri dan kanan, akhirnya aku tiba di ruang barang basah. Tiada rak tinggi-tiinggi seperti tadi yang menanti. Tetapi sebaliknya deretan peti dingin dan juga beku yang panjang dan lebar terisi dengan sayur-sayuran pelbagai warna, buah-buahan import dan tempatan, pelbagai jenis ikan, daging dan ayam pula mengisi mataku. Orang yang ramai tidaklah kuendahkan sangat. Mereka masing-masing punyai pelbagai ragam. Ada yang menolak troli kosong. Ada juga yang seperti keretapi, anak-beranak menolak troli-troli yang sudah sarat dengan barangan belian. Di sana sini budak-budak berlari di atas lantai marmar pasar raya yang berkilat kehitaman.
Mewah, riuh dan meriah sungguh pasar raya di belakang rumahku ini.

Amat mengkagumkan.

Ahad, 27 Disember 2009

Contoh Karangan Keperihalan PT3 - Suasana dan Pengalaman

Tiada ulasan :
Soalan: Seorang daripada rakan anda hilang ketika anda dan beberapa orang rakan seronok mandi-manda di pantai pada suatu hari. Ceritakan suasana dan pengalaman anda itu sehingga rakan anda itu ditemui.

Tajuk: Pengalaman Cemas di Teluk Chempedak

Indah nian pemandangan ketika langit bertemu lautan di kala senja menjelang. Ketenangan Teluk Chempedak begitu syahdu mengusik perasaanku.

“Rumi!” sergahan dari belakang itu benar-benar memeranjatkanku.

“Hana, jangan kacau orang sedang melayan perasaan lah.” Lim menegur Jenny yang menyeringai kepuasan melihat aku terkejut disergahnya.

“Apalah kau Jenny, dah tak ada kerja lain ke? Mana Sam?”, tanyaku setelah hilang gemuruh di dada.
“Entahlah. Tadi katanya hendak berjalan-jalan di sepanjang pantai. Jom mandi!” Jenny menjawab seraya mengajak aku dan Lim mandi. Sebelum sempat aku berkata apa-apa, dia sudah berlari ke gigi pantai. Aku dan Lim segera mengejarnya. Kelihatan Jenny sudah pun terjun ke dalam laut dan berenang ke tengah. Kami segera mengekorinya menikmati kesejukan air laut senja itu.

“Hahahaha!” hilai tawa keriangan kami yang sedang seronok mandi-manda memecahkan kebeningan malam yang baru merangkak datang.

Selang sepuluh minit di kami berada di dalam laut, aku merasakan arus deras dari bawah cuba menarikku ke dasar laut. “Lim, arus pasang malam lah, mari kita naik cepat!” ujarku kepada Lim yang sedang berenang berhampiranku.

“Ok,” jawab Lim ringkas. “Eh, mana Jenny?”

Aku segera menoleh kiri dan kanan. Takkan kujawab soalan Lim itu selagi aku tidak nampak Jenny.
“Jenny!” Lim segera menjerit. “Jenny!” aku pula memanggil. Perasaan cemas segera datang di wajah Lim dalam samar-samar cahaya rembulan penuh yang baru menjenguk Laut China Selatan. Aku juga sudah risau. Beberapa minit kami menjerit memanggil nama rakan sekelas yang wajahnya selalu ceria tersenyum itu. Namun tetap tiada sahutan balas.

Kami yang kepenatan kerana melawan arus dan menjerit-jerit nama Jenny lalu segera berenang ke tepian. Aku dan Lim cemas sungguh. Cepat-cepat kami naik dan berlari di sepanjang pantai sambil tidak henti-henti memanggil nama Jenny.

“Hoi, Lim, Rumi, Sini! Sini!?” Dalam samar-samar itu kedengaran suara Sam pula memanggil kami.
Segera kami mendapatkan Sam berpandukan suaranya. Kelihatan dia sedang menekan-nekan belakang seseorang yang sedang terduduk dan terbatuk-batuk.

“Jenny lemas,” sebelum sempat aku bertanya, Sam sudah pun memberikan jawapan ketika kami mendapati mereka. Lega hatiku melihatkan rakan-rakan seperkelahanku berkumpul kembali di situ dalam keadaan selamat.

Isnin, 15 Disember 2008

Perigi Yang Hilang

Tiada ulasan :